MELUKIS PUISI
Adalah sebuah acara rentas bidang di antara seni visual dengan seni puisi. Sejumlah tiga puluh satu seniman kontemporari Malaysia pelbagai usia daripada seniman muda hinggalah seniman utama telah diberi tanggungjawab untuk menciptakan sebuah karya visual berdasarkan interpretasi mereka terhadap puisi-puisi Pyanhabib Rahman yang diangkat daripada buku antologi sajak beliau berjudul Balada Pyanhabib terbitan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia.
Acara ini juga merupakan sebuah penghargaan kepada Pyanhabib Rahman, seorang tokoh penyair terkenal tanah air yang telah mengabdikan seluruh jiwa dan raga untuk dunia seni selama lebih daripada empat dekad. Beliau yang juga merupakan anggota kumpulan Anak Alam sangat dikenali sebagai seorang seniman yang aktif dan agresif menyuarakan pandangan serta komentar terhadap kepincangan sosial, politik, budaya dan persekitaran dengan nada-nada yang keras namun sinikal.