Anassuwandi Ahmad: Trap Series

Anassuwandi Ahmad dilahirkan pada 1967 di sebuah perkampungan nelayan bernama Pekan Kuala Kedah, Kedah. Beliau kemudiannya mengikuti bapanya Ahmad Saad seorang guru berpindah ke Perlis sekitar awal 70an dan sering berulang alik ke kampung asalnya di Pekan Kuala Kedah.

Anassuwandi kemudiannya berpindah ke Pulau Pinang sekitar tahun 1976 kerana mengikuti bapa beliau yang melanjutkan pelajaran di Universiti Sains Malaysia dalam bidang seni.

Semasa di P.Pinang, sering kali di bawa ke studio bapa beliau di USM serta mengikuti persembahan teater. Bermula dari situ minat terhadap seni mula bertapak setelah melihat bapa beliau melakukan kerja-kerja seni seperti catan dan lukisan.

Tahun 1988 beliau mengikuti Kajian Seni Lukis & Seni Reka dan memilih jurusan Seni Halus, Major di dalam Seni Catan dan Minor Seni Arca. Semasa dalam pengajian, beliau sangat berminat di dalam seni yang berasaskan kepada bahan campuran dan banyak mengolah dan kombinasikan catan dan arca dalam penghasilan karya.

Setelah tamat pengajian di Institut Teknologi MARA, beliau kembali ke Kedah kerana di minta untuk menguruskan perniagaan bapa beliau dalam pendidikan Komputer. Pada tahun 1997, beliau telah menubuhkan sebuah IPTS bernama Institut Teknologi A.N.S bersama bapa beliau dan menawarkan Diploma Sains Komputer francais bersama Universiti Putra Malaysia.

Penglibatan beliau dalam pendidikan IPTS sedikit sebanyak membataskan beliau dalam bidang seni dan aktiviti berpameran. Aktiviti-aktiviti seni seperti menjadi juri pertandingan, persatuan dan berpameran hanya tertumpu di bahagian Utara Malaysia sahaja.

Pada tahun 2004 beliau mengambil keputusan untuk menjadikan seni sebagai kerjaya beliau sepenuh masa dan melepaskan jawatan beliau sebagai Pengarah Institut di Institut A.N.S.

Beliau juga mengambil inisiatif menjadikan kediaman beliau sebagai sebuah studio dan Galeri Seni. Sehingga kini beliau terus menerus menghasilkan karya-karya dan melibatkan diri di dalam aktiviti berpameran dan persatuan negeri iaitu Angkatan Pelukis Kedah.

Perkembangan terbaharu ialah untuk menjadikan Studio dan Galeri Seni beliau salah satu tempat residensi pelukis di Kedah, untuk permulaan ini beliau telah mengambil seorang pelukis baru dan menjadikan beliau seorang aprientis dan residensi untuk Studio dan Galeri Seni Anas serta berusaha untuk mendapatkan satu kawasan lagi untuk dijadikan Perkampungan Seni Kedah dengan melibatkan aktiviti seni dan residensi pelukis serta tarikan pelancong khususnya dalam bidang seni.