INTERNAL : Melihat Kembali Karya-Karya Saharuddin Supar 2008-2019


Jadi Bahan
Fuad Arif

Karya-karya saya selalunya berkaitan dengan reaksi dari observasi terhadap persekitaran, sama ada objek, pemandangan, peristiwa, puisi mahupun bahan/media itu sendiri. Eksplorasi bahan, bentuk dan makna selalu berubah kerana semasa kajian dan penghasilan karya penemuan baru telah membuatkan saya menerokai selanjutnya potensi tersebut. Walaupun pelbagai bahantara pernah saya gunakan dalam penghasilan arca, seringkali memaparkan keperihatinan pada aspek formal, manipulasi proses-proses semulajadi, merancang kesan luar kawalan dan mengolah reaksi kimia.. – Saharuddin

Setiap bahan mempunyai transformasi dinamik dalam kewujudan, kualiti dan keupayaan bagi membolehkan ia dianggap terus ‘hidup’ walaupun ia bertukar menjadi objek-objek kaku buatan manusia, seperti rumah, meja, roti, tali kasut, pam hidroelektrik dan kertas A4. Goble (2017) menganggap ia sebagai suatu “daya hidup yang diwarisi pada dasar fizikal semua bahan”. Sekeping kayu yang diambil dari pokok boleh bertindak balas kepada pelbagai kesan penukaran terhadapnya. Ia boleh menjadi potongan kepingan kayu yang panjang, nipis atau kecil, menjadi bengkok, mampatan atau abu kayu melalui pembakaran, kisaran halus dan juga berubah secara kosmetik untuk kelihatan tua dan kasar melalui kerja-kerja gaya pengantikan. Bahkan secara semulajadi berevolusi dalam interaksinya sendiri dengan entiti lain seperti bakteria, air hujan, kulat, cahaya matahari atau serangga. Bahan buatan manusia seperti polimer, contohnya bekas plastik dan bakul plastik juga boleh dilihat sebagai suatu yang hidup ketika mereka bertindak balas terhadap cahaya matahari, bercampur dengan bahan kimia yang lain sehingga mengubah watak dan strukturnya menjadi sesuatu yang baharu atau kelihatan baharu.

Melalui dimensi saintifik, atau secara khusus dari sains bahan yang berusaha untuk memahami hubungkait struktur dan sifat bahan, pengklasifikasian bahan "bermula pada skala panjang terkecil, dan secara berperingkat bergerak dari situ". (Howes & Laughlin, 2012) Usaha-usaha reduksionis sains ini bertunjang pada pemahaman bahawa realiti dunia bermula dan harus difahami pada dunia mikro. Dunia halus ini dianggap sebagai dasar dan blok binaan kepada semua objek di dunia. Usaha pengemudi sains ini juga cenderung ke arah pemahaman dan menemui ‘tuntutan kebenaran’ terhadap fenomena berdasarkan bukti yang dapat dilihat, empirikal dan dapat diverifikasi, di mana "kebenaran dilihat sebagai korespondensi" (Bolt, 2011) atau di mana pernyataan (penemuan) kebenaran atau kepalsuan hanya ditentukan oleh keadaan status yang konkrit.

Seperti para ahli saintis yang didorong oleh semangat yang mendalam untuk mendedahkan sifat asas dan potensi kegunaan pelbagai bahan, seniman visual juga memiliki kecintaan dan keinginan untuk memahami bahan melalui kerja-kerja artistik mereka. Namun begitu, penyelaman para seniman didepani dengan agak berbeza dan di dalam pelbagai situasi, perbuatan dan makna. Dalam amalan seni, seperti lukisan, catan, arca, seni pemasangan dan seni video, hubungan seniman dengan bahan dialami dalam kepelbagaian aspek berkaitan dengan sensor, estetik dan persepsi. Pada kebanyakan keadaan semangat ini dirangsang oleh niat yang mentah dan yang tidak masuk akal, semua dengan daya upaya seniman untuk memasuki kawasan-kawasan yang belum dipeta oleh manusia, melunjuri wilayah-wilayah misterius, penuh dengan keajaiban penemuan baharu, malahan melucukan dan konfrontatif. 

Dunia seni bukan saja berminat dengan bahan dalam perihal kerja-kerja teknikal membentuk bentukan tetapi juga dalam pelahiran objek poetik (poiesis) yang dialami secara dirinya sendiri sebagai suatu pengalaman asli yang membuka ruang makna, namun tidak pernah sebagai suatu pembenaran mutlak. Sebagai contoh, pada masa awal gerakan Pasca-Minimalis tahun 60-an, hampir semua artis utamanya telah membuat keputusan mengarahkan kecenderungan artistik mereka menuju ke arah sifat ekspresif bahan. (Burton, 2005) Seniman visual pada masa itu seperti Bruce Nauman, Eva Hesse dan Louise Bourgeois bekerja dalam gaya kontra terhadap sifat ‘kesejukan’ dan ‘kaku’ perintis Minimalis seperti Donald Judd dan Carl Andre. Akibatnya mereka bergerak dalam mengendalikan objek minimal melalui pengendalian bahan yang mempunyai nilai-nilai ketidaksempurnaan, diatur lebih dengan keperibadian dan sifat puitis watak bahan mereka sendiri.

Secara fenomenologinya, iaitu pandang-dunia yang dibangunkan oleh falsafah Barat yang memberi penekanan terhadap kajian kesedaran dan objek-objek yang dialami secara langsung, walaupun ada nuansa dalam definisi dan penekanan tema fenomenologi dalam konteks analisis terhadap persoalan bahan melalui praktik seni seperti perihal ‘tubuh’ dalam seni pertunjukan (Kozel; 2007), ‘cat’ melalui catan (Wentworth; 2004, Bolt; 2007) dan ‘video’ melalui seni video (Hezekiah; 2010), tidak ramai artis akan mengisytiharkan bahawa amalan seni mereka adalah suatu unjuran pemahaman fenomenologi mereka. Namun bukan juga menidakkan yang ianya tidak ada. Segelintir seniman seperti Lee Ufan melalui amalan multidimensinya, dari pemasangan, lukisan dan catan, Barbara Bolt sendiri melalui catannya, seni persembahan Suzan Kozel dan Jac Saorsa menerusi lukisannya, memperakui bagaimana pandangan dunia falsafah ini telah menjadi model pemikiran yang mempengaruhi cara mereka berkerja dan berfikir.

Sehubungan dengan itu, dalam meraikan semangat fenomenologi itu sendiri, yang "bukan satu pendekatan mutlak" (Kafle, 2011), saya ingin sebagai satu perbincangan analisis meletakkan kedudukan kerja pengarcaan Saharuddin dalam pembingkaian ini bagi mendapatkan intipati kepada kemenjadian dasar pengkaryaan dan karya-karya beliau. Melalui pembingkaian fenomenologi, pengkaryaan  dan karya-karya beliau dilaburkan ke arah hubungan bertukar-tukar subjek-objek yang dinamik, di mana perhubungan tersebut adalah suatu pembukaan potensi dan intipati fenomena benda berlaku melalui ruangan ‘penonjolan poietik’ (poietic revealing) – meminjam dari penjelasan Barbara Bolt melalui pemahaman Heideggerianya. Menerusi penonjolan tersebut, fenomena kejadian difahami sebagai suatu keadaan kemunculan, apabila sesuatu itu lahir ke muka ada atau "kebenaran asli dan keaslian berlaku" (Bolt, 2011) dalam kebersamaan (pengalaman berseni) dalam pertukaran hubungan yang terbuka (epoché) dan tertutup (closure) antara setiap entiti (seniman dan objek; makhluk - lain). Sebagai contoh permulaan; interaksi yang bertukar-tukar antara Saharuddin Supar dan besinya melalui kimpalan sewaktu kerja penghasilan karya arca merupakan suatu pertukaran dan perhubungan yang sentiasa mempunyai unsur terbuka dan tertutup. ‘Terbuka’, apabila dalam pembikinan, berlaku perubahan-perubahan rawak yang besar dan ‘tertutup’ apabila dalam perubahan rawak tersebut perincian berlaku. Namun sempadan antara kedua-duanya adalah kabur dan tidak tetap, kerana adalah suatu yang tidak diketahui dan dijangkakan oleh beliau sendiri bila pertukaran antara kedua-dua mod ini akan berlaku secara konseptual, walau setegas mana dari segi perancangan itu telah pun dibuat oleh beliau sendiri. 

Tanpa pertukaran yang saling memerlukan ini, kewujudan bentukan pada bahan juga adalah mustahil. Jika pun hanya Saharuddin berada di dalam studionya mengenggam dalam genggamannya sebuah tukul, tetapi tanpa membuat apa-apa perhubungan dengan bahan-bahan yang mahu dikerjakan, adalah mustahil untuk karya seperti Internal No. 7 (2009) boleh muncul. Perhubungan antara setiap entiti perlu berlaku untuk memungkin karya menjadi ada. Di sini kebenaran objek seni tidak bersifat proposisi, tetapi sebagai kewujudan sewaktu ia memunculkan diri melalui amalan mengarca (mengetuk, menampal, menempa, mengimpal, memotong dan sebagainya). Dalam perhubungan ini bahan-bahan bukan lagi diam membisu, tetapi juga bersama-sama membuka cara beliau melihat dan membentuk bentukan arca atau dalam penafsiran Ramsden (1946) ianya adalah “mod saling-berhubungan sesama benda”.  

Keadaan ini adalah suatu yang sangat berbeza dari pemahaman saintifik yang memahami bahan sebagai ‘lengai’ dan ‘diam’ (Barancle, 2009), atau jika melalui gagasan Cartesan, bahan berada dalam penguasaan dan dominasi subjek semata. Dalam rujukan sebegini, ke-bahan-an bahan larut ke dalam konsep dan tidak lagi memberikan rintangan dan hanya duduk menjadi latarbelakang realiti yang hilang dalam fenomena semulajadi manusia – hanya suatu realiti yang objektif. (Braembussche, 2015) Bahan menjadi tidak signifikan dan hanya duduk bodoh dalam kemenjadianya tanpa memberikan apa-apa pengaruh kebersamaan dalam apa-apa fenomena.

Sebaliknya, dalam kontek perbincangan pengkaryaan/karya Saharuddin, perhubungan beliau dengan bahannya merupakan suatu usaha kebersamaan dalam berkarya bagi melepaskan potensi transformatif dalam besi, tanah, pasir/kaca dan kayu yang beliau usahakan, membolehkan bahan-bahan ini berganjak dari suatu realiti kejadian ke suatu realiti kejadian. Melalui ganjakan ini lahir seperti suatu pola berterusan, akan bentukan-bentukan arca yang kebanyakannya berkeadaan minimal namun puitik, seperti sebuah mangkuk tea Jepun yang dibentuk oleh semangat Wabi-sabi.

Walaupun beliau kerap menggunakan bahan mentah yang kebanyakannya merupakan barangan dalam sektor pembinaan, seperti plat keluli, dawai keluli, ‘hollow squre section steel pipe’, namun kebanyakan kerja-kerja yang menghasilkan kaca sebagai media lebih melalui proses pergabungan pelbagai bahan mentah seperti silika, batu kapur, abu soda (soda ash), bahan kimia pewarna kaca, api dan udara bergabung bersama sifat mereka sendiri bagi melahirkan satu ‘objek baharu’ yang seterusnya melalui kaedah rumit dalam pembentukan iaitu sama ada melalui peniupan kaca (‘glass blowing’) atau penuangan kaca (‘glass casting’). 

Karya beliau bertajuk ‘Antara’ (2004) merupakan salah satu daripada keadaan ini. Walaupun pengkaedahaanya adalah teknikal, proses meleburkan kaca dan membentuk kaca itu sendiri dilalui oleh beliau menerusi suatu pengalaman ekstasi yang tidak menjangkakan secara pasti akan ketepatan pada keakhirannya. Bergabung sesama sifat bahan yang berbeza ini melahirkan satu objek yang dipertonjolkan dalam bentukan arca yang ternyata kasar, seakan-akan berlumut. Adalah sungguh menakjubkan bilamana pasir beliau leburkan dalam relau akhirnya sejuk, tidak akan selama-lamanya boleh bertukar menjadi bahan halus berwarna kuning seperti sediakala kerana ianya telah melalui transformasi lengkap dan mendapat struktur dalaman yang sama sekali berbeza. 

Kali pertama saya melihat ‘Antara’ di studio Saharuddin ialah ketika ia dibawa keluar oleh beliau dari sebuah kotak simpanan yang di dalamnya dibaluti dengan sehelai kain buruk. Di atas meja kerja, arca tersebut memperlihatkan dirinya sebagai objek arca yang sudah berlainan dengan apabila ia berada di dalam kotak. Dengan tubuhnya yang kerdil dengan bentukan yang ringkas tanpa mempunyai apa-apa rangkian dan cabang mahupun ruangan ‘undercut’ ia duduk menegak seperti bantal bayi yang dibelah dua. Di atas meja, arca tersebut senyap, kini diselubungi dengan persekitaran ruang studio yang agak gelap dan hening. Namun kerana dirinya yang malap lutsinar, kerana itu juga seperti terdapat satu tenaga dalaman yang menjadikan sekelilingnya bertenaga, sama ada dalam membuatkan kegelapan ruang studio lagi tampak gelap bila ia di dalam studio atau menerangkan tampak cahaya luar yang terang bila ia dibawa keluar. Apabila saya menyentuh arca tersebut, saya juga menyentuh ruang yang telah diambil olehnya.

Tanpa reflektif saya berhadapan dengan arca ini seaslinya. Tiada diri yang kontemplatif, tiada kaedah dalam pemerhatian, tiada penilian yang hadir dalam pengalaman melihat dirinya. Pengalaman primordial yang asli dan mentah ini membuatkan saya lupa ianya pernah menjadi cecair yang panas mendidih. Ia kini suatu objek ganjik yang sejuk dalam gengaman. Kehijauan lumutnya menyejukkan mata. Ini sememangnya, adalah tandatangan Saharuddin, di mana beliau akan menguli bahan-bahan industri dengan kesan kasar dan rawak (karat besi, kesan lorekan rambang) dengan pembentukan bentukan yang organik seakan meniru semulajadi atau menjadikan bahan semulajadi menjadi tidak organik, supaya kedua-dua pengasingan ini bergabung membetuk suatu diri arca yang dinamik namun ‘merendah diri’ dalam monotonous-nya

Dalam karya ‘Internal No. 6’ (2009), yang juga merupakan sebuah binaan keluli yang memiliki secara kontekstual pensejarahan seni catan melalui bentukan luarannya yang bersegi empat, karya ini turut menjiwai dalam perwatakan pergabungan yang dinamik tersebut walaupun ia memperlihatkan dirinya sebagai suatu bentukan bersegi yang legap. Kerana walaupun segi empat itu mendominasi sebagai bentukan luaran (yang secara persepsi dikaitkan dengan unsur buatan manusia) pada kulit bentukan ini ianya adalah perupaan yang bergerutu seakan dimamah usia oleh karat yang pada sifatnya suatu daya semulajadi. Namun potensi pertumbuhan pantas karat yang telah sedia ada pada keluli ini telah dilambatkan melalui selaput ‘2K clear coat’ yang menyekat (secara perlahan) udara dan lembapan untuk masuk bergabung dengan keluli tersebut. Maka walaupun karya ini boleh dianggap sebagai sebuah ‘arca dinding’, ianya juga adalah sebuah karya catan yang sentiasa hidup melalui pertumbuhan karat yang mewarnai permukaan karya yang perlahan-lahan menuju kemusnahannya sendiri. 

Melihat karya Saharuddin yang ditebuk dengan lubang-lubang berbentuk bulat adalah suatu pengalaman yang mempunyai konotasi terhadap peristiwa pensejarahan ‘lubang spatial’ Lucio Fontana. Seperti Fontana, perlakuan merobek permukaan karya ini bukanlah suatu kerja menanda ke atas permukaan (mencat atas permukaan kanvas, keluli, papan) tetapi menembusi tubuh objek itu sendiri yang dengan ini persempadan antara dua dimensi dan tiga dimensi menjadi kabur. Walaupun penglihatan saya sibuk memerhatikan akan bentukan dan warna karat pada keluli, pemerhatian saya juga terpandu pada lubang-lubang tersebut. Badan keluli dan lubang kosong bergerak keluar masuk dalam pandangan saya. Lubang tersebut adalah lompang keluli yang mengandung udara; kekosongan. Tetapi jika penghunian udara dilakukan oleh kekosongan lubang, maka Saharuddin hanya membentuk badan keluli besi. Tidak, dia membentuk kekosongan juga. Dalam membentuk lubang yang tidak dapat digengam, beliau melahirkan lompong yang boleh menghuni udara. Kesan menghuni itu tidak terletak pada bahan yang mana ia dibina, tetapi dalam kekosongan yang boleh dihuni udara. Karya-karya beliau yang seperti ini selagi lagi mewujudkan secara dinamik pertukaran dua fenomena, di sini, antara dunia tubuh dan kulit yang berwarna dan dunia gelap yang tiada bentukan; dunia udara yang digelapkan oleh ruang.

eCatalogue


Artworks


Burst
Mixed media on steel
180 x 242 x 24 cm
2010-2019

RM 27,000

 Shot And Wounded
Mixed media on steel
120 x 120 x 7.5 cm
2010

RM 10,000

Internal No .7
Steel & auto paint
60 x 116 x 12 cm each          
2009

RM 17,000

Sagat
Aluminum
100 x 75 x 10 cm
2013

RM 6,000

Internal No. 5 - Horizon
Steel, rust & 2K auto paint
89 x 89 x 8 cm
2009

RM 5,000

Internal No. 6 - Horizon
Steel, rust & 2K auto paint     
89 x 89 x 8 cm
2009

RM 5,000

Internal No. 14 - Floating
Steel, rust & 2K lacquer
101 x 101 x 10 cm
2010

RM 7,000

Internal No. 15 - Serpentine
Steel, rust with 2K lacquer
101 x 101 x 10 cm
 2010

RM 7,000

Internal No. 16 - Dispersion
Steel, rust & 2K lacquer
106  x 106  x 8 cm
2010

RM 7,000

Internal No. 17 - Boiling
Steel, rust & 2K lacquer
106 x 115 x 8 cm
2010

RM 7,000

Internal No. 18 - Arches
Steel, rust & 2K lacquer
102  x 102  x 10 cm
2010

RM 7,000

Embryo
Steel, rust & 2K auto paint
80 x 111 cm each
2008

RM 9,000

Your Head
Steel & 2K auto paint
60 x 120 x 10 cm
2012

RM 6,000

Terapung
Mixed media on acid etched steel
61 x 61 cm
2019

RM 2,800

Gerakan Membulat
Mixed media on acid etched steel
61 x 61 cm
2019

RM 2,800

Gerhana
Mixed media on acid etched steel
61 x 61 cm
2019

RM 2,800

Orbit Membujur
Mixed media on acid etched steel
61 x 61 cm
2019

RM 2,800

Orbit Membulat
Mixed media on acid etched steel
61 x 61 cm
2019

RM 2,800

Orbit Berubah
Mixed media on acid etched steel
61 x 61 cm
2019

RM 2,800


Internal No. 23 - Guarding
Steel & 2K auto paint
76 x 182 x 66 cm
2011

RM 20,000


Opening