KIAS ALAM - Pameran berdua Oleh Jamil Zakaria & Faizal Suhif

 

DARI MERU KE DUSUN MEMINTAL DAN MENEKAP ALAM

MERU

Sekitar tahun 2006 perkenalan antara saya dengan saudara Faizal Suhif dan Jamil Zakaria bermula apabila kami sama-sama menuntut di Jabatan Seni Halus, UiTM Shah Alam. Sosok mesra dipanggil Boi dan Souq ini mudah didekati semua orang memandangkan mereka tidak pernah menutup ruang persahabatan. Boi lebih awal menyatakan hasrat menjadi seniman dengan membuat gabungan dalam Warna Art Group, manakala Souq terlebih dahulu pulang ke kampung bermuhasabah setelah tamat pengajian.

Meru menjadi asbab dan titik mula mereka memulakan langkah sebagai seniman – menjadi seniman sepenuh masa dan berstudio beramai-ramai. Masih ingat lagi ketika itu Jamil yang baharu datang dari kampung dengan kekurangan dana cuba mencari formula mencari titik temu keperluan menjadi seniman sepenuh masa. Ditepuk-tepuknya gam dunlop di antara kedua telapak tangan bagi mendapat kesan bentuk yang tahan lama. Ini dalam usaha mencari identiti sebagai seniman – semasa belajar dahulu kami digesa oleh pensyarah mempunyai identiti sendiri dan harus jadi pioneer dan  bukan follower. Desakan kewangan jugalah, pada akhirnya Jamil kembali kepada asas dalam seni halus dan bahan yang mesra kewangan.

Setiap kali ke Lembah Klang saya pasti akan menginap di studio mereka berdua. Aman, tenang dan terasa dari kampung pulang ke kampung bila berada di Meru. Dari sinilah saya melihat proses bagaimana Faizal dan Jamil berkarya. Rahsia bukan menjadi rahsia lagi.

DUSUN

Dalam tahun 2013 semasa pengajian di peringkat Sarjana di UiTM Jalan Othman, sekali lagi saya berjumpa kedua sosok ini. Saya yang terlebih dahulu menyambung pelajaran daripada mereka tewas dek kerana masalah kesihatan, akhirnya tamat bersama-sama. Semasa di JO, Faizal mula membuka rahsia kepada saya bagaimana beliau menghasilkan karya dengan membawa saya bersama-sama menghasilkan cetakan alternatif beliau.

Saya dibawa pulang ke studio mereka di Dusun, Ulu Langat. Sekali lagi saya rasa aman, tenang dan terasa dari kampung pulang ke kampung. Cita rasa mereka berdua agak sama, anak kampung dari Selatan dan Utara mencari ketenangan persis kampung mereka.

Melihat kepada karya-karya Faizal dan Jamil mengingatkan saya kepada kursus Visual Research (VRD 101) yang diajar semasa tahun-tahun awal Diploma, UiTM. Bagaimana dawai digunakan untuk menghasilkan bentuk dan teknik cetakan bagi mendapatkan kesan dari alam dan buatan manusia.

Faizal yang saya kenal dari dulu hingga sekarang mengisi perjalanan keseniannya dengan keutamaan pada bidang cetakan. Beliau seperti seorang ahli geologi yang bertanggungjawab mengkaji, menyiasat, memahami dan menyelami segala yang berkaitan dengan bumi. Beliau gemar akan kesan reaksi pada permukaan di persekitarannya. Ia akan ditekap menjadi sebuah nuansa hubungan baharu di antara alam dan naratif yang digarap.

Jamil pula masih berjuang mengangkat bahan pinggiran dari industri sebagai bahan utama dalam karya-karyanya dari dahulu hingga kini. Keakrabannya terhadap bahan dalam memanipulasi teknik dan kelebihan selama lebih 10 tahun menjadikan arca-arca gulungan dan pintalan dawai sebagai identiti khusus beliau. 

SEKARANG: ALAM JADI SAKSI

Secara sederhana dalam menyantuni konsep identiti yang dianjurkan oleh Chris Baker; kepercayaan, gaya, cita rasa dan sikap, saya melihat apa yang dibawa, diperjuangkan, dan dipercayai oleh Faizal dan Jamil tentang seni telah menjadi sebuah identiti khusus bagi mereka. Faizal sendiri percaya kepada apa yang ditawarkan oleh bidang cetakan. Gaya dan cita rasanya jelas terhadap cetakan mono serta makhluk alam yang disantuninya. Sikapnya dengan kecintaan dan hubungan sejati antara manusia dan alamnya jelas tergambar melalui visual kesan reaksi dan penambahan bentuk. Jamil pula dengan arca gulungan dan pintalan dawai dengan cita rasa industri membawa naratif kiasan Alam Melayu yang kaya dengan tutur bicaranya. Sikap tegas pada visual namun sinis pada pemaknaannya dan bijak menjalin rupa.

Dari pameran duo pertama mereka, Temu sehinggalah pameran kali ini, bahasa visualnya tetap sama. Faizal dan Jamil tetap Faizal dan Jamil, mereka bercakap bahasa dan kias yang sama. Alam menjadi perantara bagi kias-kias mereka terhadap manusia penghuninya. Kebersamaan, keakraban mereka tertumpah melalui visual karya-karya terbaharu mereka.

Kesan reaksi tekapan dari rekahan, kelompongan, tinggi-rendah permukaan disatukan dengan sokongan subjek jelmaan Faizal hasil kesamaran dan penegasan kesan. Subjek jelmaan dari pemikiran cuba diadakan melalui kebiasaan beliau. Alam juga membantu sinis dan kritik Jamil terhadap penghuninya melalui instalasi haiwan-haiwannya – Haiwan peliharaan, buas dan geli. Mereka sedang berkias. 

Beberapa hari sebelum PRU 15, mereka berdua telah siap sedia bersama sekumpulan karya dengan gagasan, manifesto dan kias dari Dusun ke Ampang. Tahniah buat kalian.

Hawari Berahim


Jamil Zakaria
Hukum Alam 

Steel wire, 2k paint, anti rust 
Pelbagai saiz 
2022 
RM 42,000






Faizal Suhif

Qalbu Alam 

Media campuran atas kanvas 
137 x 183 cm 
2022 
RM 8,800


Penunggu.. 

Media campuran atas kanvas 
122 x 152 cm 
2022 
RM 8,500



Depan mata... 

Media campuran atas kanvas 
122 x 152 cm
2022 
RM 8,500 


Semalu.. 

Media campuran atas kanvas 
137 x 137 cm
2022 
RM 8,200 



Sesorok.. 

Media campuran atas kanvas 
137 x 137 cm
2022 
RM 8,200 


Kiasan alam 

Media campuran atas kanvas 
137 x 548 cm 
2022 
RM 18,000 


Tunggul jadian.. 

Media campuran atas kanvas 
122 x 304.8 cm 
2022 
RM 12,000